Khamis, 29 November 2007

Berjumpa Semula

Agak lama tak dapat mengemaskinikan blog ini kerana kesuntukan masa. Diberitakan pertemuan Keluarga Incah yang dijadualkan pada 30 Disember akan datang terpaksa ditunda ke bulan April 2008.

Sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

Selasa, 31 Julai 2007

SECEBIS KISAH

Latar Belakang Ismail dan Inchah

Ismail bin Kotan berasal dari Kampung Pulau, Gemencheh. Beliau mempunyai enam adik beradik iaitu Abdul Manan, Napisah (Neksah), Nekyah ( Mak Godang), Ropi dan Timah.

Kalau mengikut adat perpatih, Ismail adalah dari suku Biduanda melalui ibunya Lunau binti Kulup. Ini melayakkan beliau untuk menjawat jawatan Penghulu Pesaka Luak Gemencheh. Seterusnya Dato’ Muda dan Dato’ Laksamana dalam hiraki adat perpatih Gemencheh.

Inchah pula adalah salah seorang dari lapan anak Juadin dan Saerah Kasim. Selain dari Inchah, anak-anak mereka adalah Abdul Wahab, Daud, Satir, Bantut, Roti, Nikmat dan Gudau. Mereka berasal dari kampong Sungai Salah dan adalah dari Suku Tiga Nenek.

Setelah Inchah dan Ismail berkahwin, mereka telah berpindah dan menetap di Kampung Sungai Kepong.

Anak-anak Ismail dan Inchah

Hasil dari perkahwinan tersebut Ismail dan Inchah telah dikurniakan lapan orang cahaya mata terdiri dari tiga perempuan dan lima orang lelaki. Che Mah adalah anak sulong diikuti oleh Ibrahim, Abdul Rahman, Khadijah, Abdul Aziz , Abdul Ghani , Siti Rahmah dan yang bongsu Abdul Talib. Ibrahim walau bagimana pun telah meninggal dunia pada usia tiga tahun.

Kehidupan berkeluarga.

Untuk menyara kehidupan, mereka berdua terpaksa bergelut dengna tulang empat kerat . Bermacam jenis pekerjaan dilakukan oleh mereka seperti bersawah padi, menorah getah, mencari hasil hutan seperti petai, manau rotan dan sebagainya. Mereka juga menternak lembu, kerbau, kambing ayam dan itik. Disamping itu, pada musim buah buahan mereka turut mengambil upah menurunkan buah buahan .Tidak ketinggalan mereka turut bercucuk tanam.

Keperibadian Ismail dan Inchah

Seperti mana penduduk kampong yang lain, Ismail juga mempunyai kepakaran dalam kerja kerja tangan .Begitu juga Inchah yang turut mahir menghasilkan anyaman tikar mengkuang yang pelbagai corak.

Ismail adalah seorang yang celik huruf manakala Inchah pula setelah mengikuti kelas dewasa dengan gigih mampu juga membaca bahan bacaan ringan. Inchah juga boleh membaca Al Quran dengan fasih.

Dari segi perwatakan pula Ismail adalah seorang yang tegas dan serius manakala Inchah pula bersikap suka mengalah. Namun demikian kedua-duanya mempunyai tekad dan harapan yang sama iaitu mahukan anak-anak memiliki kehidupan yang lebih baik dari mereka.

Kembali ke Rahmatullah

Takdir menentukan bahawa Ismail mula uzur semenjak tahun 1963 . Semua itu dihadapi oleh Incah dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Keadaan tersebut berterusan sehinggalah Ismail menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1983 setelah duapuluh tahun menderita. Inchah yang keseorangan selama lima tahun telah mengikut jejak suami tercinta pada 18 Jun 1988 .


Nota: Artikel diambil dan diolah semula dari buku program tautan Kasih Keluarga Ismail dan Inchah yang berlangsung pada 5 Julai 2003 .